Menaiki pesawat kini boleh dikatakan bukan lagi perkara aneh ataupun mewah. Kemunculan syarikat penerbangan murah seperti Air Asia membenarkan semakin ramai marhaen menaiki pesawat untuk pergi melancong atau pulang ke kampung halaman. Pelbagai cara dilakukan untuk menjadikan perjalanan di dalam pesawat lebih selesa berbanding sebelumnya.
ULTRAFLEX ialah konsep menarik ruang santai pada bahagian belakang pesawat yang membolehkan penumpang kelas ekonomi menikmati kemudahan yang hampir sama dengan penumpang kelas perniagaan dan ke atas. Ruang galley pesawat diubah menjadi ruang santai lengkap dengan tempat membeli makanan, bilik hiburan lengkap dengan TV gergasi, ruang kerja, ruang makan, ruang bersenam dan ruang solat yang lebih selesa.
Kesemua rekaan ULTRAFLEX ini dihasilkan oleh firma AIM Altitude yang cuba menghasilkan ruang yang lebih selesa untuk penumpang di dalam penerbangan yang lama. Tahun lalu Singapore Airlines menawarkan penerbangan tanpa henti selama 18 jam di antara Singapura dan New York. Ini adalah konsep yang menarik kerana kami sendiri kini semakin kerap “terperangkap” di dalam kabin pesawat.