Jewel Changi Airport Kini Dibuka Dengan Air Terjun Tertutup Tertinggi Buatan Manusia

Jewel Changi Airport Kini Dibuka Dengan Air Terjun Tertutup Tertinggi Buatan Manusia

Diterbitkan pada Apr 18, 2019 oleh .

Ah senibina. Kalau anda pembaca Blogserius versi 1.0 anda pasti ingat beberapa pusingan solar yang dahulu kami ada menulis mengenai projek Jewel Changi Airport yang merupakan pusat membeli belah di lapangan terbang yang menarik rekaan Moshe Safdie. Semalam pusat membeli belah dengan keluasan lantai 1,460,660 kaki persegi yang menelan belanja SGD 1.26 bilion (~RM 3.86 bilion) ini akhirnya dibuka. Pusat tumpuan Jewel Changi Airport ialah sebuah air terjun 40 meter buatan manusia yang kini adalah yang tertinggi bagi sebuah bangunan tertutup.

Air dari bumbung ketika hujan dikitar semula untuk air terjun HSBC Rain Vortex yang boleh mengalirkan sehingga 38,000 liter air seminit. Air ini digunakan untuk tumbuhan di bawah kanopi kaca serta menyejukkan bangunan. Menarik sekali keseluruhan bangunan diperbuat daripada kaca dan logam. Permukaan kaca yang beralun direka untuk tidak menyilaukan mata juruterbang yang menghampiri Changi.

Dengan konsep pusat membeli belah dalam taman, terdapat Shiseido Forest Valley dengan lebih 2000 jenis pokok yang diimport dari seluruh dunia. Dengan wujudnya hutan dalam bangunan, suhu dapat dikawal dan pada masa yang sama menyegarkan pelawat.

Akhir sekali di dalam Jewel terdapat juga Canopy Park yang menempatkan jambatan berlantaikan kaca serta jaring kanopi yang boleh diakses oleh pelawat yang tidak mempunyai masalah gayat. Kami akan ke Singpura minggu hadapan dan akan melawat sendiri Jewel apabila mempunyai masa lapang. Nampak menarik dan lebih hensem berbanding KLIA2.

SERIUS BISJUT