Wanita Indonesia Sanggup Dikafan Dan Berlakon Mati Untuk Mengelak Membayar Hutang

Wanita Indonesia Sanggup Dikafan Dan Berlakon Mati Untuk Mengelak Membayar Hutang

Diterbitkan pada Jan 2, 2023 oleh .

Kami yakin ramai di kalangan pembaca yang mempunyai kawan yang liat membayar hutang. Makin dikejar makin laju mereka lari dan selepas beberapa bulan muncul pula di media sosial dengan iPhone baharu dan pergi ke Bali dengan teman wanita/lelaki tetapi duduk bilik asing-asing. Sure Jan, we believe you!

Pelbagai alasan akan diberikan. Adik sakit, mak sakit, nenek sakit, angsa belaan di kampung sakit dan kalau monyang masih hidup mereka juga akan sakit secara tiba-tiba. Tetapi di Indonesia, Liza Dewi Pramita telah menemukan cara paling inovatif dan melampau untuk melarikan diri daripada membayar hutang.

Liza Dewi Pramita  berhutang 4.2 juta Rupiah (~RM1200) dengan Maya Gunawan. Selepas beberapa kali hutang gagal dibayar, maya dikejutkan dengan hantaran Facebook anak Liza Dewi yang mengatakan ibu beliau telah meninggal dunia. Gambar Liza Dewi yang siap dikafan dan diletakkan di atas troli telah dikongsi.

Pada awalnya Maya ingin memaafkan sahaja hutang Liza Dewi. Tetapi kemudiannya anak mengatakan jasad ibu akan ditanam di Acheh yang lokasinya jauh dari tempah tinggal terakhir beliau. Maya mula merasakan ada sesuatu yang cuba disorokkan dan melakukan carian imej di Google.

Hasilnya salah satu gambar beliau di atas troli sebenarnya diambil dari Google Images. Selepas kantol anak Liza Dewi mengaku ibu beliau masih hidup dan sekadar ingin melarikan diri. Sehingga ke hari ini Liza Dewi menghilang dan tidak dapat dikesan.

Walaupun teknik penipuan beliau gagal, kami harus katakan ia serius kreatif kerana jarang sekali dibuat oleh orang lain. Diharap pembaca sekali tidak mengambil pengajaran untuk menggunakan teknik yang sama untuk mengelat membayar hutang.

SERIUS BISJUT