Mari Lihat Sejarah Pembangunan Teknologi Panggilan Video

Mari Lihat Sejarah Pembangunan Teknologi Panggilan Video

Diterbitkan pada Jan 23, 2018 oleh .

Kesemua telefon dan tablet pintar di pasaran sekarang mampu melakukan panggilan video. Saya secara peribadi gemar menggunakan panggilan video menggunakan WhatsApp apabila berada di luar negara. Rindu di hati terubat apabila melihat keluarga di Malaysia secara langsung.

Ramai mungkin tidak tahu idea peranti yang mampu melakukan panggilan video ini sudah wujud sejak 1878. Telefon video fiksyen yang diberi nama Edison dilakar oleh George du Maurier diterbitkan di dalam majalah satira Punch. Siapa sangka idea satira yang muncul hanya dua tahun selepas Telefon dipatenkan oleh Alexander Graham Bell ini akan menjadi obsesi manusia untuk ratusan tahun.

Fiksyen mula menjadi realiti pada tahun 1927 dengan terciptanya  Ikonophone. Telefon dengan kemampuan paparan video pada tetapan 18 FPS ini diuji oleh Bell Labs. Perkhidmatan panggilan video awam pertama kali ditawarkan pada tahun 1936 di Jerman. Gegensehn-Fernsprechanlagen ditawarkan di Leipzig dan Berlin oleh Reich Post. Perkhidmatan ini ditamatkan pada tahun 1940 kerana Perang Dunia Kedua dan kos yang mahal.

Pada tahun 1964, Picturephone dilancarkan oleh AT&T di Amerika Syarikat. Pihak AT&T berharap perkhidmatan panggilan video ini akan digunakan secara meluas menjelang 1975. Malang sekali hanya beberapa ratus Picturephone digunakan pada tahun 1974 dan perkhidmatan dihentikan pada penghujung 1970an.

Hanya selepas ledakan internet dan telefon mudah alih perkhidmatan panggilan video mula digunakan secara meluas. Fiksyen sains berusia 140 tahun ini kini sudah dianggap teknologi biasa. Kita benar-benar sudah hidup di dunia masa hadapan. Siapa sangka rekaan yang dihasilkan untuk sebuah majalah satira kini digunakan dalam bentuk FaceTime dan WhatsApp Call dengan kos panggilan yang minima.

SERIUS BISJUT