Jika memandu pulang ke kampung, kami akan memastikan pundi-pundi tubuh dikosongkan terlebih dahulu di rumah. Ini adalah kerana dari pengalaman peribadi tandas-tandas awal terutamanya di stesen petrol di Malaysia adalah sebersih loji kumbahan di Somalia. Kombinasi bau, lantai basah dan najis yang tidak dipam membuatkan kami lebih sanggup menahan dari melakukan proses pembuangan kumbahan biologikal.
Tetapi jika anda ke Quezon City, Filipina ada sebuah tandas awam di dalam stesen Petron yang lebih mewah dari yang ditemui di rumah anda. Tandas ini mempunyai cermin dengan ukiran kayu lengkap dengan saduran emas. Tiang Corinthian menghiasi bucu dinding memberikan ilusi anda sedang menggunakan tandas milik Zeus di Gunung Olympus. Melengkapi kemewahan ini ialah tandas ini turut dilengkapi pendingin hawa.
Bercakap tentang tandas, apakah pengalaman paling sadis ketika menggunakan tandas awam yang pernah anda lalui?