Katedral Notre Dame terbakar pada 15 April lalu dan sehingga kini punca kebakaran masih lagi misteri. Kebakaran berlaku ketika ia sedang dibaikpulih kerana kerosakan yang teruk pada bahagian bumbung. Tindakan tangkas ahli bomba Paris berjaya menyelamatkan ruang dalaman Notre Dame dari mengalami kerosakan teruk. Namun begitu bahagian bumbung yang berusia ratusan tahun hampir musnah kesemuanya.
Selepas kebakaran, pelbagai cadangan pembinaan semula telah diperlihatkan. Firma Vincent Callebaut Architecture memperlihatkan konsep yang mengubah ruang bumbung Notre Dame menjadi sebuah rumah hijau gergasi yang mesra alam. Dengan wujudnya rumah hijau, ruang atas katedral boleh menjadi tempat berehat yang menyegarkan. Rusuk bumbung baharu ini akan menggunakan kayu lamina yang lebih mudah ditemui berbanding kayu oak yang kini sukar ditemui.
Penggunaan bahan yang sedikit dan minimalis meningkatkan lagi kelestarian bangunan ini sesuai dengan keperluan dunia semasa. Bahagian menara yang dahulunya berasingan diintegrasikan terus dengan bumbung kaca rumah hijau. Kerajaan Perancis masih sedang menerima cadangan bagaimana pembinaan semula bumbung Notre Dame akan dilakukan.