Sebagai insan yang menanti sahaja hari untuk mengetuk-ngetuk pintu syurga seperti Axl Rose, jam tangan Casio G-Shock adalah antara yang paling didambakan ketika masih muda remaja dahulu. Tetapi apakan daya, seperti iPhone, G-Shock ialah jam untuk anak orang ada-ada seperti Rusdi Ramli, Hasnim Harun, Deja Moss dan Baby Res2.
Tetapi kami sudah dewasa dan terima kasih kepada sistem kapitalis mampu menjadikan kerjaya menulis karya blog seperti ini menjadi wang kertas yang kemudiannya digunakan untuk memenuhi impian zaman remaja dengan penuh tidak bertanggungjawab sekali.
Casio G-Shock DW5600 NASA edition ialah jam tangan edisi khas yang bertemakan misi NASA ke permukaan bulan. Warna putih jam selari dengan warna sut yang dipakai oleh Neil Armstrong, Buzz Aldrin dan the other guy that if you didn’t Google would not even remember. Oh yeah he was Michael Collins.
Keistimewaan jam tangan ini ialah ia masih lagi tahan hentakan, kalis air sehingga 200 meter dan apabila butang lampu ditekan akan memaparkan imej permukaan bulan. Seutas jam dijual pada harga $130 (~RM562) tetapi dalam jumlah yang terhad. Sama terhad seperti biasiswa Misi Artemis ke bulan yang ditawarkan menerusi emel serta gambar Citizen Scientist yang diphotoshop secukup rasa sehingga membohongi ketua negara serta portal berita negara.