NASA AD-1 : PESAWAT SAYAP BERPUTAR OLEH NASA

NASA AD-1 : PESAWAT SAYAP BERPUTAR OLEH NASA

Diterbitkan pada Okt 11, 2017 oleh .

Konsep yang gagal menjadi realiti

Sekitar tahun 70an dan 80an NASA adalah antara badan kerajaan yang menerima dana terbesar oleh kerajaan Amerika Syarikat. Dana yang besar ini diberikan untuk memastikan Amerika Syarikat akan terus menjadi kuasa besar dalam perlumbaan angkasalepas dan inovasi aeronautikal dunia. Puluhan juta (pada waktu ini puluhan juta adalah besar) dibelanjakan oleh NASA untuk mencari sistem pelancaran roket dan bentuk pesawat baru yang lebih efektif. Banyak inovasi dihasilkan dalam tempoh 20 tahun ini seperti pembinaan Space Shuttle dan stesen angkasa SKYLAB.

Dalam tempoh 20 tahun ini juga NASA menghasilkan beberapa pesawat konsep yang inovatif tetapi gagal digunakan secara komersil. NASA AD-1 ialah salah sebuah pesawat percubaan unik yang dihasilkan. AD-1 mempunyai sistem sayap berputar yang diberi nama Oblique Wing Research Aircraft (Pesawat Kajian Sayap Serong). Pesawat sayap serong bukanlah teknologi baru tetapi telah wujud sejak1942 di Jerman. Melalui kajian terowong udara dan pengiraan matematik, pesawat dengan sayap serong secara teorinya mempunyai kemampuan aerodinamik yang lebih baik dari pesawat dengan sayap konvensional. Pengurangan geseran udara memastikan pesawat ini boleh bergerak pantas denga penggunaan bahan api yang jauh lebih kecil.  Ini adalah kerana geseran udara pada pesawat bersayap serong adalah jauh lebih rendah pada kelajuan tinggi sehingga 1700 kilometer sejam.

AD-1 mula terbang pada tahun 1979 dan diterbangkan sebanyak 79 kali. Sayap pesawat ini mampu berputar sehingga 60 darjah bagi mendapatkan kemampuan aerodinamik yang paling ideal. Namun NASA mendapati apabila sayap diserongkan pada posisi maksimum, pesawat menjadi kurang stabil dan sukar untuk diterbangkan. AD-1 menunjukkan kriteria mudah terbalik dan sukar dikawal apabila sayap mencapai serongan maksimum.

Projek AD-1 dihentikan pada tahun 1982 dan pesawat ini kini disimpan di Muzium Penerbangan Hiller di San Carlos California. Idea penggunaan pesawat sayap serong untuk pesawat pejuang kelajuan tinggi dan pesawat penumpang antara benua supersonik sekaligus dibatalkan.

Apa pendapat anda tentang pesawat sayap serong? Sekiranya ia menjadi realiti adakah anda berani menaikinya?

SERIUS BISJUT