Mari menaiki mesin cahaya masa dan melawat dekad 1950an. Di dalam dekad yang funky ini William Hamilton Albee telah mencipta tayar yang diberi nama Rolligon. Tayar ciptaan bekas guru ini direka untuk digunakan pada kawasan tundra, ais dan salji. Setiap tayar Rolligon dipam dengan udara pada tekanan 5 PSI. Oleh sebab itu ia bukan sahaja dengan mudah merentasi tundra, ais dan salji malah boleh menggilis tubuh manusia tanpa mengakibatkan kematian.
Ini adalah kerana kombinasi tekanan rendah serta luas permukaan tayar yang besar menyebarkan berat kenderaan dengan lebih luas. Tubuh manusia yang digilis tidak akan hancur apabila kenderaan Rolligon bergerak di atasnya.
William Hamilton Albee mendapat idea tayar Rolligon dari kaum Inuit di Alaska. Beliau melihat kaum Inuit menggunakan beg udara yang diperbuat dari kulit anjing laut untuk menggolek sampan berat yang mengandungi tangkapan ikan di laut. Kenderaan Rolligon pertama dihasilkan pada tahun 1951 tetapi syarikat milik William Albee kemudian muflis kerana kekurangan sambutan.
Tayar Rolligon masih dihasilkan dan digunakan di Alaska. Mengapa ia tidak digunakan secara meluas di atas jalan raya? Ini adalah kerana kos menghasilkan tayar ini amat mahal. Ia memerlukan lebih banyak getah berbanding tayar biasa. Kenderaan khas perlu digunakan dan lori sedia ada tidak menggunakan konfigurasi gandar Rolligon yang unik. Jadi jika anda ingin terselamat digilis lori, pastikan ia menggunakan Rolligon.