Kami bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dilahirkan dengan tubuh yang sihat serta sempurna walaupun kini sedikit obes. Tiada masalah besar kami hadapi apabila menaiki pesawat walaupun dalam puluhan perjalanan jauh yang kami harus tempuhi setiap tahun sejak memulakan kerjaya sebagai seorang wartawan. Satu perkara yang kami sedari ialah proses memindahkan penumpang berusia ke dalam pesawat adalah sedikit menyusahkan.
Kerusi roda tidak direka untuk bergerak di dalam pesawat kerana terlalu lebar. Penumpang yang memerlukan kerusi roda perlu dipapah ke kerusi mereka untuk keluar dan masuk. Sungguhpun kapal terbang penumpang telah wujud hampir seratus tahun, masalah melibatkan pengguna kerusi roda masih tiada penyelesaian.
Air Chair ialah ciptaan Amer Siddiqui dan Ali Asgar Salim, dua pelajar dari American University of Sharjah. Kerusi roda berkuasa elektrik ini cukup kompak untuk digunakan di dalam pesawat. Pengguna boleh mengawal sendiri proses keluar dan masuk pesawat tanpa memerlukan sebarang bantuan sekaligus membolehkan mereka berdikari. Ia turut direka untuk memenuhi ruang tempat duduk ekonomi pesawat Boeing 777. Pengguna tidak perlu turut dari kerusi sebaliknya Air Chair boleh dipasang terus pada kerusi pesawat. Rekaan mereka yang menarik melayakkan kedua-dua pelajar ini memenangi tempat kedua James Dyson Award 2018 dalam kategori antarabangsa. Syabas akhi!